Awas! Tajol Simbah Petrol Pada Api Muzakarah

Written By marhain jelata on 28 Julai 2008 | 9:31:00 PTG

Berita TV1 dan TV3 sebentar tadi (8.00 malam 28 Julai) melaporkan sidang akhbar Tajol Rosli yang menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan campuran UMNO-PAS di Perak. Dengan kata lain, tawaran itu bermaksud merobohkan kerajaan Pakatan Rakyat gabungan PAS-DAP-PKR yang baru berusia empat bulan.

Tajol menawarkan kerjasama yang kelihatan sangat murni melibatkan bilangan kerusi exco yang banyak untuk PAS. Kemungkinan laluan untuk post MB juga tidak dinafikan.

AWAS! Mainan politik UMNO telah menjangkau beberapa langkah ke depan. Mereka sedang memanfaatkan isu muzakarah muqabalah semaksimum mungkin. Kenyataan pengerusi DAP (YB Karpal Singh) berhubung cadangan mengkaji semula status PAS dalam Pakatan Rakyat membuka jalan kepada manipulasi ini.

Mujur dalam berita TV yang sama, YAB Menteri Besar Perak mengakhiri komennya dengan kata-kata “but I don’t think so” merujuk kepada soalan tentang kebarangkalian berlakunya kerjasama itu. Syabas Dato’ Seri!

Semua pihak yang menyokong Pakatan Rakyat sangat berharap agar pemimpin ketiga-tiga parti, PAS-DAP-PKR segera menamatkan isu ini dengan deklarasi bersama yang jelas dan terperinci. Pemimpin parti wajar sepakat menyerahkan ulasan tentang isu ini kepada hanya seorang pemimpin daripada setiap parti kepada mana-mana media cetak dan elektronik.

YB Karpal patut insaf untuk tidak lagi memberikan sebarang komen mewakili DAP atau Pakatan Rakyat. Langkah Pakatan Rakyat telah berulangkali berdepan dengan masalah akibat kenyataan dan komen YB Karpal.

Ahli PAS diseru supaya membanyakkan munajat dan berdoa memohon kepada Allah agar melindungi kerajaan Pakatan Rakyat serta memberikan kekuatan kepada pemimpin dan ahli PAS keseluruhannya.