Muzakarah/Muqabalah: Majoriti Rakyat Tak Peduli Pun

Written By marhain jelata on 28 Julai 2008 | 1:28:00 PTG

Isu ini adalah isu besar di TV dan akhbar arus perdana. Kupasan di gelanggang internet lebih dahsyat lagi berbanding di TV dan akhbar itu. Negara seolah-olah sedang dilanda bencana besar yang meragut ratusan ribu nyawa. Bahasa analisis di laman web telah melangkaui segala batasan budibahasa sejagat. Tetapi bagaimana rupa sebenar atau realiti penerimaan dan kepedulian masyarakat?

Lebih 8o peratus orang Melayu tak ambil pusing langsung tentang perkembangan isu ini. Orang UMNO masih dengan jiwa dan sikap yang sama macam dulu. Tak bertambah nilai UMNOnya dan tidak juga berkurang. Orang PAS pun sama. Jiwaraganya masih sesetia dulu walau pun turut sama berbincang pro-kontra bersabit isu ini.

Yang riuh rendah mengandai, menghukum, mencadang, mencemuh dan memaki hamun hanyalah segelintir manusia politik sama ada kerana rasa bertanggungjawab atas kapasiti masing-masing atau memang kerjanya bercakap atau menulis cerita politik.

Isu ini memang ada kesannya kepada aras dan arah kecenderungan politik rakyat semua kaum. Ada yang pro dan ada yang kontra. Itulah fitrah manusia bila dah ramai. Namun begitu kita perlu realistik dalam menentukan kadar kesannya, supaya tidak membazir masa dan tenaga mengulas dan bertindak.

Media arus perdana memanipulasi isu ini dengan penuh licik dan berniat jahat. Hal itu adalah jatidiri mereka sejak zaman berzaman. Mereka sentiasa sanggup melacurkan etika dan profesionalisme kewartawanan demi perut dan periuk nasi. Biarkanlah mereka!

Pemimpin Pakatan Rakyat wajar respond kepada beberapa episod terpilih yang diisukan oleh media jiwa BN itu, tetapi bukan semuanya. Kita tidak patut menari mengikut rentak yang mereka rencanakan. Layan yang mana patut dan abaikan saja mana-mana yang tidak memungkinkan sebarang keuntungan kepada gagasan kita.

Retak memang ada, namun tidaklah sampai ke tahap nak terbelah. Jika kita tidak terus melatah dengan serangan BN yang mensasarkan emosi kita ini, seminggu dua lagi mereka akan exhausted. Mereka sendiri ada banyak urusan dan masalah dalaman yang tak habis-habis.

Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu terus bekerja menunaikan tanggungjawab masing-masing yang jauh lebih penting daripada melayan isu ini. Jangan terikut-ikut dengan polemik dan kontroversi yang kait-mengait seolah-olah tiada kesudahannya.

PAS, PKR dan DAP adalah parti yang berbeza latarbelakang, prinsip, matlamat dan caragaya bertindak. Kita bersama dalam satu persefahaman politik berdasarkan beberapa titik pertemuan yang serupa dan dipersetujui bersama demi satu matlamat iaitu membebaskan negara daripada kezaliman dan penyelewengan Barisan Nasional. Ini adalah hakikat Pakatan Rakyat.

Oleh itu, memang logik apabila kita berbeza persepsi dalam sesuatu hal atau urusan tertentu. Prinsip politik pegangan kita tidak sama. Kadar keterikatan kita kepada perintah agama juga tidak sama. Budaya kerja dan prinsip hubungan kemanusiaan kita juga tidak sama. Realiti ini memang mendedahkan kita kepada perbezaan demi perbezaan di sepanjang perjalanan persefahaman politik yang terjalin.

Namun begitu kita sangat yakin bahkan sejarah pun telah membuktikan bahawa perbezaan antara manusia atau kumpulan manusia tidak menghalang jalinan kerjasama yang berkesan. Kita optimis Pakatan Rakyat mampu terus tegak sebagai satu team untuk menggerakkan kesedaran dan kehendak politik rakyat ke arah perubahan politik yang lebih bermakna.

PAS, PKR dan DAP perlu sepakat menjernihkan kekeruhan yang timbul. PAS sebagai pihak yang mencetuskan kebimbangan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat perlu memberikan penjelasan dan hujjah berhubung apa yang sebenarnya berlaku. Nokhtahnya ialah satu kenyataan bersama ketiga-tiga parti yang menyatakan dengan terang bahawa ‘kita tetap sepakat’, ‘kita masih sepakat’ dan kita akan terus bersama di gelanggang politik Malaysia. Hitam-putih itu harus dikumandangkan ke seluruh negara dengan bersungguh-sungguh sama ada di depan mikrofon sidang akhbar atau di pentas ceramah dan helaian bercetak yang sampai ke tangan seluruh rakyat.

Kita serius menjunjung demokrasi bersuara. Oleh itu, kita alu-alukan suara semua pihak berhubung isu ini termasuk siaran media BN yang tiada sejarah baik niatnya terhadap kita. Bloggers yang menghentam kita dan pemimpin kita dengan label yahudi, babi, bengap, bodoh, opportunis dan seribu satu macam lagi juga kita ucapkan terima kasih. Jika mereka yakin bahawa tulisan mereka benar dan patut, silakan! Di akhirat nanti kita akan dihakimi secara detail setiap perkataan kita.

Malaysia today, raja petra kamarudin, penarik beca, adukateruna, mat saman kati, faisal tehrani, moderator blog lim kit siang dan banyak lagi nama-nama pemberi komen yang hebat-hebat di merata laman web dan blog, kita minta untuk terus menulis. Jika tulisan anda benar, maka rakyat akan untung dan anda akan mendapat kebaikan daripadanya. Jika tulisan anda adalah fitnah atau bersumberkan dendam dan kebencian, rakyat akan terus rugi, BN akan terus bertakhta dan lambat laun anda juga akan menerima akibatnya.

Bloggers dan pemberi komen yang hebat-hebat itu terkadang kelihatan seperti malaikat yang tak pernah silap. RPK terus dengan prinsip ‘plural’ dan ‘liberal’nya namun terus prejudis terhadap Islam. Adukateruna adalah penyokong kuat PAS tetapi dengan senang hati mem’babi’kan ahli PAS dan mem’bengap’kan Tuan Guru Haji Hadi. Mat Saman Kati bersemangat sungguh agar Pakatan Rakyat menumbangkan BN namun jiwa raganya membenci PAS lapan ribu peratus. Nampak macam DSAI dah jadi tuhannya dan PKR adalah parti suci lagi maksum.

Namun begitu pemimpin PAS, PKR dan DAP tak perlu terlalu gusar dengan suara keras dan kasar di angkasa raya ini. Mereka berhak menyatakan pendapat masing-masing. Rakyat bebas mendengar dan membaca. Namun begitu majoriti rakyat tak pernah kenal kaki-pukul dunia internet itu.

Harakahdaily menerima kunjungan sehingga lebih 1 juta sehari. Penulis sendiri akan melawat harakahdaily sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Begitulah juga orang lain. Maknanya, hanya 200 ribu pengunjung sahaja yang menjenguk. Enam puluh peratus (120 ribu) adalah ahli atau penyokong setia PAS. 120 ribu itu jugalah yang menziarahi tulisan RPK, adukateruna, matsamankati, limkitsiangblog dan beberapa laman politik yang lain. Bakinya adalah rakan-rakan dari parti lain termasuk UMNO dan peniaga internet.

Ahli dan penyokong setia PAS setakat ini nyata tidak tergugat jiwa mereka dengan isu muzakarah muqabalah ini. Walau pun ada diskusi, pro, kontra, kritikan dan luahan namun mereka masih seperti asal. Majoriti Melayu lain sama ada tak peduli atau tak ada kemudahan capaian internet. Maka mereka tak tahu pun kewujudan forum politik alam siber yang riuh rendah itu.

Kaum China yang sering dilabelkan sebagai lebih celik politik pun tak berapa kesah dengan isu ini. Mereka ada berbincang isu ini kerana ia terpapar di akhbar setiap hari tetapi mereka juga sudah jemu dengan politik TV dan akhbar yang confirmed ‘putar-belit’ sepanjang zaman.

Rumusan tentang kesan kecenderungan politik kaum China dan India ialah mereka sedang tunggu dan lihat. Belum ada sebarang ‘stand’ yang muktamad. Mereka akan ikut ‘kepala’. Kalau ‘kepala’ kata terus sokong Pakatan Rakyat tak kira PAS atau PKR atau DAP, mereka akan sokong.

Kesimpulannya, pemimpin PAS, PKR dan DAP pusat, negeri dan kawasan/bahagian perlu relaks. Tak perlu menggelabah dengan tarian sumbang UMNO/BN dan maki-hamun malaikat-malaikat yang jadi bloggers.