Tazkirah 4 - Memahami Persoalan Usul (Dasar) dan Furu' (Cabang)

Written By marhain jelata on 31 Mei 2008 | 10:02:00 PTG

Salah satu bentuk penyelewengan ialah 'lebih mementingkan bentuk lahir daripada isi'. Hal ini adalah salah dan amat merbahaya. Sepatutnya apabila kita menyeru orang lain kepada perkara-perkara furu'iyyah, kita mestilah terlebih dahulu mengukuh dan menegakkan perkara-perkara usul atau dasar aqidah Islam dalam diri kita. Hanya dengan cara ini kita akan terdorong untuk menyerah diri mengikuti perintah Allah dengan melaksanakan segala ajaran Islam mulai daripada perkara "kulliyyah" hinggalah kepada perkara juziyyah. Kita akan menerima baik segala ajaran Islam daripada yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya sebagai 'ibadat kepada Allah dengan rela hati.

Kalau kita jadikan perkara furu'iyyah sebagai asas yang kita beriltizam dengannya, sedangkan kita baru mulai berjalan di atas jalan da'wah, maka kita akan mengakibatkan "orang yang diseru" menjauhkan diri dari da'wah kita, dan secara tidak langsung menghalang mereka daripada bersama-sama kita dalam da'wah ini. Akhirnya secara tidak disedari, kita akan jadi terasing daripada mad'uw (golongan sasar) disebabkan uslub (cara) kita yang salah.

Da'wah Islam bermula dengan mengucapkan aqidah. Imanlah yang mendorong para da'ie untuk menyerah diri kepada Allah tanpa ragu dan bimbang, maka iman itu jugalah yang sepatutnya menjadi perkara yang diusahakan supaya hadir dalam diri golongan sasar. Kita tidak boleh menyeleweng daripada manhaj dan uslub kerasulan yang amat bijaksana itu.

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat yang baik." An-Nahl 125.

Terlalu Berkeras Dan Bersusah Payah

Penda'wah juga boleh terdedah kepada satu lagi bentuk penyelewengan yang tidak kurang bahayanya iaitu terlalu berkeras dan menyusah-payahkan sesuatu perkara sehingga mendatangkan beban kepada diri dan da'wah. Ada penda'wah yang membebankan diri untuk melakukan tugas-tugas taat dan ibadah yang di luar kemampuannya dengan keyakinan bahawa tindakan itu akan melatih dirinya agar lebih mampu mengikut manhaj Ilahi. Akhirnya dia tidak mampu meneruskannya lalu tercicir di tengah jalan hingga sanggup mencuaikan perkara-perkara fardhu, sunat dan nawafil. RasuluLlah telah mengingatkan kita supaya mengelakkan diri daripada cara yang demikian.

Sabda RasuluLlah SAW (mafhum): "Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamulah yang jemu".

Oleh itu kita wajib membezakan di antara tindakan tegas yang penuh kesungguhan dengan berpayah-payah menyusahkan sesuatu hal di luar realiti kemampuan diri atau jamaah. Nafsu hendaklah ditundukkan dan dikendalikan di dalam realiti kemampuan jamaah dan individu-individu di dalamnya.

"Ya Tuhan kami, janganlah bebankan kami dengan sesuatu bebanan yang tidak sanggup kami memikulnya." Al-Baqarah 286.

Jalan da'wah itu panjang dan sukar. Penda'wah yang ingin maju meneruskan da'wah janganlah membebankan diri dan jamaah dengan bebanan dan susah payah cerewet yang tak mampu dipikul. Amal yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti di tengah jalan. Kita juga tidak sepatutnya bersikap melampau dan cuai kerana kita mempunyai banyak tugas yang mesti dilaksanakan.

Da'wah ini memerlukan pendukung-pendukung yang bercita-cita tinggi, kuat kemahuan, keazaman yang tegas, tangkas dan unggul.
10:02:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Tazkirah 3 - Penyelewengan Di Jalan Da'wah

Written By marhain jelata on 27 Mei 2008 | 8:56:00 PTG

Jalan da'wah adalah jalan yang terang 'petunjuk' dan 'panduan'nya serta jelas matlamatnya, namun seorang yang berjalan di atasnya sentiasa terdedah kepada penyelewengan yang boleh memesongkannya dari perjalanan yang sahih. Penyelewengan boleh berlaku apabila penda'wah itu telah menyimpang dari jalan sebenar atau telah mengubah niatnya. Penyelewengan selalu terjadi kerana keghairahan yang melampau berasaskan pertimbangan peribadi, terutamanya apabila kita bersangka bahawa semua yang berminat untuk beramal di jalan da'wah ini adalah orang yang sememangnya benar, bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hakikatnya, ramai peserta di medan da'wah ini adalah orang yang hanya bersimpati dengan apa yang mereka dengar dan lihat tentang pelbagai penindasan, gangguan, siksaan dan pembunuhan ke atas pembawa bendera da'wah sebelum mereka.

Oleh itu kita mesti mengingatkan petugas-petugas da'wah ini supaya tidak tergelincir dan tidak menyeleweng hanya kerana kekurangan pengetahuan dan maklumat yang sahih tentang jalan da'wah sebenar. Peringatan ini amat perlu supaya langkah mereka tepat dan pendirian mereka betul agar mereka dapat memperbaiki urusan mereka sendiri sebelum memperbaiki urusan orang lain. Sesungguhnya penjagaan dan pemeliharaan lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit.

"Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutlah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalannya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu." Al-An'am 153.

"Katakanlah (wahai Muhammad) inilah jalan (agama)Ku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." Yusuf 108.

Penyelewengan di jalan da'wah ini biasanya berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:

- kekosongan jiwa agama
- kedangkalan ilmu agama
- tiada atau kurang tarbiyyah
- budaya 'ibahiyah' iaitu budaya mengharuskan semua perkara
- berleluasanya keraguan dan syak wasangka dalam hal aqidah
- hilangnya batas syara' dalam strategi jamaah

Ilmu dan Penyelewengan

Tempat tergelincir yang paling merbahaya ialah fitnah ilmu. Kadangkala penda'wah yang mencari ilmu akan mendapat serba sedikit ilmu lalu merasakan telah berlaku perubahan besar dalam dirinya. Penda'wah itu menjadi kagum dan silau matanya dengan sinaran ilmu dan ma'rifah yang sedikit hasil pengajian dan kitab yang dibacanya. Dia yakin bahawa ilmu yang telah diperolehinya itu memang banyak lantas menyangka bahawa dirinya telah cukup berkemampuan untuk beristinbat dan mengeluarkan hukum. Dia sering berpegang dengan teguh kepada sebab-sebab lahiriah sesuatu dalil tanpa mempunyai pengetahuan mengenai kaedah-kaedah menggunapakai dalil-dalil itu. Dia mudah terpedaya dengan ilmunya lalu menganggap dirinya umpama mujtahid sehingga berani menghukum apa juga keadaan yang melintasi di depannya.

Salafussoleh menyatakan "orang yang paling berani menghukum dan berfatwa ialah orang yang paling sedikit ilmunya."

Cara untuk memelihara diri daripada penyelewengan itu ialah dengan menuntut ilmu tanpa mudah terpedaya dan tidak melewati batas. Bentuklah diri supaya sentiasa merasa bahawa apa yang telah kita tahu hanyalah lebih baik daripada keadaan tidak tahu sebelumnya. Wajar diingat bahawa sesiapa yang mengaku dan merasakan dirinya telah mengetahui, maka dia telah menjadi jahil.

"Sesiapa yang menganggap dirinya pandai maka dia telah menjadi bodoh." Mustafa Masyhur, ToriqudDa'wah.

Seterusnya cantumkanlah ilmu dengan amal. Jangan terlalu berani mengeluarkan fatwa dan menghukum sesiapa pun. Penda'wah mesti sentiasa berlapang dada menerima pandangan dan idea yang sahih dan benar tanpa menutup diri dan membekukan aqal dengan kefahaman yang cetek dan terbatas. Penda'wah mesti meletakkan manusia dan menilai mereka menurut tahap mereka yang pelbagai dan berbeza.

Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang mengenali kadar dan tahap dirinya.
8:56:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Pulau Batu Puteh jadi Pulau Puteh Mata

Written By marhain jelata on 26 Mei 2008 | 9:07:00 PTG


baca berita penuh DI SINI
9:07:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Foto Mesyuarat Agung 2008

Written By marhain jelata on 25 Mei 2008 | 10:33:00 PTG

Alhamdulillah.
Mesyuarat Agung PAS Kawasan Beruas kali ke 44 telah sempurna dilaksanakan hari ini 25 Mei 2008 di Dewan Inderawati Beruas bermula 9.00 pagi sehingga 2.00 petang. Majlis peresmian disempurnakan oleh YB Haji Hussain bin Din, ADUN Selinsing. Tatapi sebahagian daripada foto sekitar perjalanan majlis ...... (jika gambar tidak muncul : klik tanda X di penjuru atas/kanan bingkai untuk menampilkan semula foto)



10:33:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Tazkirah 2 - Jatidiri Mujahid Dan Sunnah Da'wah

Written By marhain jelata on 23 Mei 2008 | 4:10:00 PTG

Jatidiri Utama Seorang Mujahid

Mujahid di medan da'wah adalah seorang yang mempunyai darjah kefahaman yang tinggi tentang agamanya. Kefahaman yang syumul dan murni tentang Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Seorang mujahid wajib mempunyai darjah keikhlasan yang tinggi supaya dia manjadi tentera da'wah, tentera aqidah dan tentera fikrah - bukan tentera yang hanya mengejar manfaat atau mengejar matlamat kebendaan dan bukan tentera yang mengejar kepentingan diri sendiri. Seorang mujahid sentiasa mengutamakan kerja - bukan kata-kata. Apa yang dikata, itulah yang dikota. Seorang mujahid membulatkan penyerahan dirinya untuk da'wah Islam dan membebaskan dirinya daripada segala prinsip yang lain dari Islam. Dia juga sentiasa membebaskan dirinya daripada prinsip manusia yang tidak menyetujui da'wah Islam. Kemuncaknya, seorang mujahid sentiasa mempersiapkan dirinya untuk berjihad ke jalan Allah dengan mengorbankan segala yang mulia dan mahal termasuk harta, jiwa, waktu dan kesenangan.

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang beriman - diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka". At-Taubah 111.

Seorang Mujahid akan terus berjihad dan berda'wah di jalan Allah walau bagaimana panjangnya masa perjuangan itu hingga dia menemui Tuhannya dalam perjalanan jihad itu dengan mencapai salah satu daripada dua kebaikan "imma an-nasru wa imma asy-syahadah" - menang atau syahid.

"Di kalangan orang beriman itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur (syahid) dan ada yang masih menunggu (giliran mereka), dan mereka tidak sekali-kali merobah janji yang telah dimeterai (dengan Allah)." Al-Ahzab 123.

Pejuang Aqidah dan tentera da'wah dituntut supaya melatih diri dan beriltizam melaksanakan gerak kerja jamaah sama ada di waktu senang atau susah dan waktu suka atau benci kerana da'wah itu adalah jihad yang tidak boleh berhenti dan tidak boleh dielakkan. Da'wah dan jihad adalah perjuangan yang terus menerus tanpa henti. Segala ujian dan dugaan yang hebat lagi dahsyat tidak akan mampu dihadapi kecuali oleh mujahid yang tulen.

Jaminan kemenangan adalah pada taat setia dan persaudaraan yang sebenar dan berdiri di atas asas cinta kasih sayang di antara seorang muslim mujahid dengan muslim mujahid yang lain. Sekurang-kurangnya darjah persaudaraan itu ialah terpelihara hati dari bersangka buruk terhadap saudara muslim yang lain. Setinggi-yinggi darjah persaudaraan itu ialah mengutamakan saudaranya yang muslim lebih daripada kepentingan dirinya sendiri.

Ramai yang pandai berkata-kata tetapi tidak mampu menjadi petugas - ramai petugas tetapi bukan mujahid - ramai yang berjihad tetapi bukan mujahid yang bijaksana.

Kata Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna: "Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata tetapi sedikit daripada mereka yang mampu bertahan dalam melaksanakan gerak kerja. Di kalangan yang mampu bertahan melaksanakan gerak kerja itu, sedikit sahaja yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat. Mujahid sebenar ialah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya namun merekalah penolong sebenar kepada agama Allah yang disebut di dalam Al-Quran sebagai ansorullah."

Oleh itu persiapkanlah diri menghadapi perjuangan ini dengan tarbiyyah yang sahih, hisablah diri dengan teliti, latihlah diri dengan amal-amal yang berat - yang kurang disukai dan susah dilaksanakan. Latihlah diri menjauhi syahwat dan menjauhi adat-adat kebiasaan.

Sunnah Da'wah

Setelah melalui peringkat-peringkat persediaan dan tarbiyyah mengikut kemampuan masing-masing sama ada individu atau jamaah, kita masih merupakan batu bata yang mentah dan belum boleh digunakan untuk membina bangunan. Kita akan melalui perjalanan da'wah mengikut sunnatuLlah dengan segala ibtila', ujian dan bencana untuk membersihkan di antara yang tulin dan yang palsu, di antara yang benar dan dusta pada kesungguhannya, di antara emas dan tembaga - supaya mujahid beriman akan bertambah imannya.

"Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata; 'kami telah beriman' sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka supaya nyatalah siapa yang benar dan siapa yang berbohong". Al-'Ankabut 2 & 3.

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana yang telah ditimpakan kepada orang sebelummu. Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang bersamanya; 'bilakah akan datang pertolongan Allah?', ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." Al-Baqarah 214.
4:10:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

1 Hari Perjalanan Hidup TG Nik Aziz

1:06:00 PG | 2 ulasan | Baca sepenuhnya

Tazkirah 1 - Kepimpinan Berkualiti

Written By marhain jelata on 21 Mei 2008 | 1:08:00 PTG

Kita dah menang pilihanraya. Sekarang adalah masa untuk kita mengurus-tadbir negeri tercinta ini. Lebih 50 tahun kita menuntut Perikatan/BN mengurus negara/negeri dengan keadilan dan kemakmuran. Sepanjang tempoh itu juga kita menentang dan membongkar segala macam penyelewengan dan ketidakadilan. Sekarang adalah masanya untuk kita mendaulatkan idealisme politik pemerintahan yang digagas dan diwar-warkan sekian lama.

Allah sedang menguji kita. Seluruh rakyat sedang menunggu dan mengharap. Rakan taulan sedia membantu. Musuh sedang memerhati dan mengawasi.

Pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat di peringkat kawasan Parlimen dan ke bawah wajar bergerak pantas dan pro-aktif membangun dan memakmurkan masyarakat. Langkah-langkah membentuk polisi dan budaya yang bebas daripada kronisme dan nepotisme dalam pengagihan harta negara/negeri mesti dioptimumkan. Kita tidak boleh membiarkan masyarakat terlepas dari mulut harimau tetapi terperangkap ke dalam mulut buaya.

Jatidiri kepimpinan di peringkat kawasan Parlimen, kawasan DUN dan kampung perlu dibangunkan dengan mengambil kira perkara-perkara berikut:

- membangunkan nilai 'keikhlasan' tulin bersumberkan aqidah dalam memikul tanggungjawab kepimpinan.
- menjunjung cita-cita 'al-adlu wal ihsan' sebagaimana yang ditawarkan di dalam menifesto.
- menginsafi keperluan skill pengurusan yang cekap dan berkesan.
- membina kesedaran tentang mekanisme pengurusan bersistematik, progresif dan dinamik.
- membangunkan institusi 'hisbah' dalam diri dan organisasi.

..... akan bersambung
1:08:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Maklumat Am Beruas

Written By marhain jelata on 20 Mei 2008 | 5:18:00 PG

5:18:00 PG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Taklimat MB Perak Menghilangkan Kebimbangan

Written By marhain jelata on 18 Mei 2008 | 10:18:00 PTG

Pasrah, ceria, meyakinkan dan bertenaga. Inilah yang dapat digambarkan tentang suasana dan hasil program PAS Kawasan bersama YAB Dato' Seri MB di kediaman resminya malam tadi. Hampir seribu pemimpin PAS Kawasan yang hadir nyata lega dan membara keazaman setelah mendengar tazkirah AlFadhil Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, ucapan AlFadhil Ustaz Ahmad Awang dan taklimat YAB Dato' Seri Hj. Mohd Nizar.

Mudah-mudahan hilanglah segala kebimbangan dan terlerailah kekalutan lompong maklumat tentang isu-isu yang telah muncul sepanjang hampir dua bulan PR membentuk kerajaan. Semua pihak harus berjiwa besar dan 'be real' dengan persekitaran politik unik negeri Perak. Kerajaan campuran dominasi DAP dan dominasi kaum Tionghua dari segi bilangan kerusi tetapi ber'MB'kan ADUN PAS.

Cabaran politiking tak bermoral UMNO-BN, pendirian veteran DAP Pusat, kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan dan Raja Muda, realiti kejutan berhubung 'ketuanan', MB pelbagai bahasa serta beberapa isu lain telah melengkapkan rencam-indah perjalanan kerajaan negeri yang paling mendapat perhatian dunia ini.

Jawatan Adalah Amanah Dan Nadamah

Tazkirah Ustaz Tarmizi Abdul Rahman mengingatkan semua amilin PAS supaya tidak terpedaya dengan peluang dan kesempatan yang terbentang di depan mata selepas kejayaan ini. Jangan meminta jawatan kerana ianya adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkab di mahkamah akhirat dan nadamah (penyesalan) bagi pemikulnya yang tidak credible. Hubbul-jah iaitu cinta pangkat atau kedudukan merupakan maudhu' yang diperingatkan secara serius di dalam Al-Quran dan Hadith serta dibahas secara panjang lebar di dalam kitab-kitab akhlak dan tasawwuf. Hubbul-jah menjahanamkan organisasi dan institusi, merencat potensi, mengekang kreativiti, menjauhkan rahmat, mengundang bala' dan memporak-perandakan ukhuwwah. Pemimpin dan ahli PAS wajib sentiasa memuhasabah diri dan memohon keampunan dan hidayah agar langkah tidak sumbang dan tempang.

Tiada sebarang kebaikan daripada kedudukan pangkat yang dicapai oleh seseorang melainkan jika dia melaksanakan segala tanggungjawab yang berhubung dengan kedudukan itu dalam keadaan penuh keikhlasan. Al-mukhlis sebagai pemimpin ialah manusia yang tidak pernah mengidamkan pangkat itu dan tidak langsung berusaha mendapatkannya.

Cabaran Proses Membentuk Kerajaan

Pengkisahan kronologi dari saat malam keputusan pilihanraya sehingga isu Pengarah JAIP yang ditaklimatkan oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar benar-benar menginsafkan. Syabas kepada Dato' Seri dan semua YB Adun Pakatan Rakyat justeru upaya menahan diri daripada tawaran berjuta RM yang mungkin menggagalkan hasrat pembentukan kerajaan baru bukan BN. Tahniah juga kerana dapat meleraikan semua kekusutan yang menjelma sepanjang langkah menyetujui pembentukan kerajaan campuran tiga parti sebagai satu-satunya kerajaan Pakatan Rakyat yang sebenar di antara lima negeri bukan BN.

Pengalaman ini memberikan harapan yang penuh makna kepada cita-cita pembentukan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat di masa mendatang. Berkongsi persamaan dalam perbezaan! Mudah-mudahan organisasi ketiga-tiga parti di peringkat kawasan Parlimen dan DUN akan bersungguh-sungguh mengeratkan kerjasama politik dan organisasi demi kebaikan dan hasrat murni semua pihak.

Bersama Membangun Dan Memakmurkan Darul Ridzuan

Insyaallah tempoh 100 hari semakin hampir. Peringkat menyempurnakan perolehan maklumat daripada semua jabatan dan agensi kerajaan akan selesai. Selepas itu kita akan terus melangkah untuk menunaikan tanggungjawab mengurus-tadbir negeri ini sebagaimana yang kita janjikan kepada semua pengundi sejak sekian lama. Al-'adlu wal ihsan.
10:18:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Kami Mohon Restu Mu Ya Allah!

Blog ini dimulakan dengan penuh harapan agar menjadi langkah awal yang penuh makna demi matlamat perkongsian maklumat yang berkesan untuk warga pakatan rakyat kawasan Parlimen Beruas.

Amin Ya Rabbal 'Alamin
10:16:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya