Diskusi Ucap Utama PJ PAS Perak Di Konvensyen 26 Julai 2008

Written By marhain jelata on 05 Ogos 2008 | 9:51:00 PTG


DISKUSI UCAP UTAMA PJ PAS PERAK - KONVENSYEN 2008

Konvensyen PAS Perak kali ke 13 telah selamat berlangsung di Rapat Setia, Ipoh pada 26 dan 27 Julai 2008 dengan kehadiran lebih 800 perwakilan dan pemerhati. Peresmian pembukaan disempurnakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Konvensyen bermula dengan ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang bertemakan “Mengisi Kemenangan - Memantapkan Perjuangan”.

Diskusi ini merujuk kepada butiran kedua-dua bahagian tema konvensyen iaitu “mengisi kemenangan” dan “memantapkan perjuangan” yang dihuraikan oleh Ustaz Ahmad Awang dengan masing-masing 13 dan 11 perkara bagi setiap satu bahagian.

24 perkara yang diperincikan dalam ucap utama itu perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dan semua peringkat dalam PAS. Bagi maksud itu, satu plan bertindak yang jelas dan terperinci harus disediakan. Ia patut bermula di peringkat Badan Perhubungan PAS Perak sebelum turun ke peringkat kawasan dan cawangan. Jika tidak wujud mekanisme untuk mencapai objektif perincian ucap utama ini, maka ia akan hanya berkesudahan sebagai naskhah usang yang tiada nilai.


Mengisi Kemenangan

13 langkah yang diperincikan berhubung ‘mengisi kemenangan’ terbahagi kepada 5 kerangka tindakan yang perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.

Perkara (a) merujuk kepada tanggungjawab meningkatkan kualiti hubungan ahli PAS dengan Allah SWT melalui amalan dan ibadah secara individu dan jamaie.

Perkara (d) merujuk kepada tanggungjawab dakwah secara umum. Ia mesti digerakkan lebih meluas dengan penglibatan berkesan semua institusi kerajaan, masyarakat dan parti.

Perkara (b), (c), (e), (k), (l) dan (m) merujuk kepada tanggungjawab ahli-ahli parti yang terlibat langsung dalam pentadbiran kerajaan bermula daripada Menteri Besar, Exco, ADUN, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT sehingga penjawat Ketua Kampung dan ahli JKKK. Konsep serta prinsip adil, amanah, telus, berwibawa dan berkebajikan wajib dijelmakan dalam semua dasar, polisi, langkah, program dan projek kerajaan di semua peringkat bagi mencapai kualiti good governance yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat.

Perkara (f), (g), (h) dan (j) merujuk kepada tanggungjawab politik pemimpin PAS di peringkat negeri dan kawasan untuk menambahkukuhkan ikatan setiakawan antara PAS, PKR dan DAP. Ketiga-tiga parti harus membina persefahaman utuh sebagai satu team yang benar-benar sepakat dan bertanggungjawab dalam merealisasikan hasrat serta aspirasi rakyat yang telah memberikan mandat dan kepercayaan.

Perkara (i) merujuk kepada jentera pilihanraya PAS di peringkat negeri, parlimen, DUN dan UPU. Jentera di semua peringkat mesti menggerakkan tugasan pilihanraya dari sekarang dengan strategi yang sistematik dan efisien untuk mencapai kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya umum ke 13. Bagi mencapai objektif itu, beberapa anjakan radikal perlu dilakukan dalam hal pengurusan strategi, pendekatan, media, tektikal dan teknikal pilihanraya.

Memantapkan Perjuangan

11 langkah yang diperincikan berhubung ‘memantapkan perjuangan’ terbahagi kepada 5 kerangka tindakan yang lebih bersifat dalaman.

Perkara (a) merujuk kepada langkah pemerkasaan organisasi parti di semua peringkat. Kualiti urus-tadbir parti mesti ditingkatkan sesuai dengan tuntutan semasa. PAS mesti diuruskan secara profesional dari sudut kepejabatan, budaya kerja, kemudahan akses dan piagam pelanggan.

Perkara (b) merujuk kepada pelaksanaan tarbiyyah ahli yang komprehensif dan terfokus kepada keperluan pasca kemenangan. Bagi maksud itu kita memerlukan satu modul tarbiyyah yang up-to-date tetapi tetap berdiri di atas prinsip tarbiyyah rabbaniy dan nabawiy yang tulen daripada seerah RasuluLlah SAW.

Perkara (c) dan (k) merujuk kepada tanggungjawab ahli-ahli parti yang terlibat langsung dalam pentadbiran kerajaan bermula daripada Menteri Besar, Exco, ADUN, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT sehingga penjawat Ketua Kampung dan ahli JKKK sama seperti perincian langkah ‘mengisi kemenangan’.

Perkara (d), (f), (i) dan (j) merujuk kepada pengurusan, strategi dan uslub dakwah secara umum. Sasaran aktiviti dan produk penerangan parti mesti merangkumi semua pihak dalam masyarakat iaitu muslim, non-muslim, Melayu, bukan Melayu, penyokong PAS-PKR-DAP, penyokong BN, lelaki, wanita, dewasa, belia/beliawanis, remaja dan pelajar.

Perkara (h) merujuk kepada oraganisasi pilihanraya PAS semua peringkat sama seperti perincian langkah ‘mengisi kemenangan perkara (i).


Rumusan Kerangka Tindakan

5 kerangka tindakan ‘mengisi kemenangan’ dan 5 kerangka tindakan ‘memantapkan perjuangan’ tersebut boleh dirumuskan kepada 4 kerangka besar untuk diselesaikan iaitu:

- Tarbiyyah Ahli

- Dakwah Muslim dan Non-Muslim

- Pengurusan Organisasi Parti

- Pengurusan Pentadbiran Kerajaan

Daripada 4 kerangka tersebut, hanya satu sahaja perkara baru bagi kita iaitu pengurusan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri. Secara resminya urusan itu hanya melibatkan ahli-ahli PAS yang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan iaitu MB, exco, setpol MB, pegawai-pegawai khas MB dan exco, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT, Penyelia DUN, kakitangan tetap pejabat Penyelia DUN, Ketua Kampung dan ahli JKKK.

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan hanya terlibat secara tidak langsung dalam membantu keberkesanan pentadbiran kerajaan.

3 kerangka besar yang lain adalah skop tanggungjawab kita yang asas sejak penubuhan parti lebih 50 tahun dahulu iaitu tarbiyyah, dakwah dan pengurusan organisasi parti termasuk jentera pilihanraya.


Diskusi 1 – Tarbiyyah Ahli

Kita telah sedia memiliki modul tarbiyyah seperti yang telah dikursuskan, ditaklimatkan, dimuzakarahkan dan dibrain-stormkan di pelbagai peringkat setiap tahun atau sekurang-kurangnya setiap dua tahun apabila penanggungjawab potfolio Lajnah Tarbiyyah bertukar. Kita juga telah sedia memiliki teks dan lain-lain bahan tarbiyyah untuk kegunaan usrah, tamrin dan lain-lain program yang berkaitan.

Program Liqa’ Fikri/Tarbawiy yang diadakan setiap bulan telah pun berfungsi sebagai medan menyelaras fokus tarbiyyah dari pelbagai sudut. Secara langsung atau tidak langsung, program itu telah pun berfungsi sebagai platform untuk penegasan ehwal tarbiyyah semua peringkat parti, berdasarkan keperluan semasa dan kesesuaian terkini yang dikenalpasti oleh Lajnah Tarbiyyah Negeri.

Ketidakpastian yang masih wujud dalam urusan tarbiyyah ini ialah ketiadaan atau kekaburan monitoring system yang efisien di peringkat negeri untuk mengesan dan menyelesaikan masalah kegagalan pelaksanaan program tarbiyyah di peringkat kawasan dan cawangan.

Oleh itu, modul baru yang akan dibangunkan atau modul asal yang akan dikemaskinikan patut memberikan tumpuan terhadap 'keberdirian' monitoring system yang praktikal dan efisien.

Ucap utama PJ memberikan penekanan sfesifik tentang ‘taqarrub ilaLlah” yang mesti dijiwai oleh ahli PAS. Sehubungan dengan itu, modul baru atau modul kemaskini harus memuktamadkan wirid, zikir, doa, munajat dan tilawah quran yang seragam dari sudut sukatan, jadual dan peringkat pergerakan amalannya. Ia patut berbentuk standard syllabus yang dibukukan dan disediakan juga dalam bentuk media terkini seperti CD, VCD, soft-file dan lain-lain media yang sesuai.

Modul tarbiyyah pasca kemenangan ini juga patut memberikan penekanan terhadap pena’kulan pengurusan hati yang lebih advanced berkaitan sifat mahmudah dan mazmumah serta penelitian berobjektif terhadap specific personality pada diri Rasulullah, khulafa’ rasyidin, syuhada’, dan mujahidin/mujahidah sepanjang zaman yang menjurus kepada ketulenan kualiti hati.


Diskusi 2 – Dakwah Muslim dan Non-Muslim

Ucap utama PJ berhubung persoalan dakwah memberikan fokus kepada persoalan pengurusan, strategi dan uslub dan diikuti penegasan tentang kepelbagaian mad’uw (individu dan kelompok sasaran). Iklim politik Malaysia terkini membuka ruang yang amat luas kepada usaha pendedahan maklumat dan penyampaian mesej risalah Islam kepada semua kelompok dan kategori masyarakat. PAS di semua peringkat wajar memanfaatkan peluang ini semaksimum mungkin. Lajnah, jabatan dan unit yang berkaitan dengan penerangan serta mempunyai akses terhadap non-muslim, perlu segera bertindak.

Bagi mencapai objektif ini, pengurusan strategi, bahan dan uslub mestilah diblue-printkan secara sistematik dan terarah seperti dakwah Nabi SAW. Khazanah sunnah dakwah Nabi SAW period Makkiyyah dan Madaniyyah wajib digali selumat mungkin dan diaplikasidalam segenap aspek dakwah kita. Seterusnya penetapan strategi, penyediaan bahan dan aplikasi uslub harus mesra realiti dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini khususnya kemudahan ICT, multimedia dan telekomunikasi.

PAS negeri wajib tampil sebagai bapa yang canggih boreknya dalam pengurusan dakwah dan penerangan ini supaya PAS kawasan dan cawangan dapat menjadi anak-anak yang rintik langkah dan gayanya. Pepatah ‘busuk ikan dari kepalanya’ harus sentiasa menggerunkan kita dalam muhasabah diri setiap hari.

Tsunami politik ‘makkal shakti’ pada pilihanraya ke 12 yang lalu dikaitkan dengan pengedaran CD dan VCD tentang pengkhianatan Samy Vellu dan kroninya terhadap kaum India yang diedarkan hingga ke semua rumah masyarakat India. Fakta ini patut menginsafkan kita tentang keperluan penyediaan bahan dan mekanisme penyaluran bahan yang objektif dan efisien.

Sebagai salah satu parti yang memiliki tongkat ‘kerajaan’, PAS Perak patut pro-aktif dan agresif memanfaatkan institusi kerajaan dan institusi masyarakat yang di bawah takluk kerajaan untuk menyemarakkan dakwah. Empat bulan telah berlalu tanpa kelibat daya yang terarah dalam ehwal dakwah di masjid dan surau seluruh negeri Perak dalam konteks produk kerajaan negeri.

Kita wajib akui bahawa mandat memerintah negeri Perak tidak datang daripada majoriti pengundi Melayu Islam. Dengan kata lain, kebanyakan masjid dan surau bukan dikuasai oleh majoriti penyokong PAS. Oleh itu, langkah mengharapkan ahli dan penyokong PAS di kampung-kampung mengambil inisiatif sendiri untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan program dakwah adalah idea yang tidak bijaksana dan tidak bertanggungjawab.

Tongkat yang dipinjamkan oleh Allah dalam rupa ‘authority’ ini wajib digunakan untuk menyusun dan menggerakkan dakwah di masjid, surau, dewan dan lain-lain premis yang sesuai, dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Nikmat pangkat, gaji, kemudahan, kepuasan dan penghormatan yang disinggahkan buat sementara ini akan akhirnya menjadi penyesalan yang tak berguna jika keris yang tergenggam hanya dihunus untuk menikam batang pisang.


Diskusi 3 – Pengurusan Organisasi Parti

Isu pengurusan organisasi adalah isu sepanjang zaman. Sekali air bah sekali pantai berubah. PAS tidak dapat lari daripada anjakan dan perubahan persekitaran yang berkait dengan pengurusan organisasi. Secara perbandingan, pengurusan organisasi PAS terbukti lebih maju daripada parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat bahkan berbanding UMNO/BN yang kaya itu. Syabas!

Kekuatan istimewa PAS ialah kesetiaan ahli dan kesediaan bekerja tanpa imbuhan di segenap bidang tanggungjawab. Kekuatan ini ditambah pula oleh kesanggupan berkorban harta, masa dan tenaga yang diakui kawan dan lawan.

Pesuruhjaya menekankan kepentingan pemerkasaan organisasi parti supaya PAS benar-benar wujud sebagai sebuah jamaah islamiyyah tulen seperti kehebatan organisasi pimpinan RasuluLlah SAW. Pengurusan yang disunnahkan oleh Nabi SAW ketika memimpin organisasi dakwah yang kecil di Mekah sehinggalah memimpin kerajaan di Madinah merupakan pengurusan yang sangat profesional. Teladan itulah yang mesti kita jiwai sepenuhnya dan ditegakkan sebagai prosedur pengurusan yang piawai di semua peringkat.

Organisasi PAS wajib mempunyai piagam pelanggan yang menepati kehendak dan keperluan pengurusan terkini. PAS mempunyai pelanggan yang ramai dari pelbagai kategori iaitu unit organisasi PAS bawahan, ahli-ahli parti, parti-parti politik rakan dan lawan, NGO, badan kerajaan dan swasta serta orang ramai.

Prosedur pengurusan dan piagam pelanggan mestilah merangkumi keperluan hubungan dengan semua individu atau kumpulan pelanggan. Setiap perkara adalah penting walau pun kelihatan kecil. Contohnya, PAS wajib membalas setiap surat yang diterima daripada pelanggan. Sekurang-kurangnya balasan itu hanya sekadar memaklumkan bahawa surat pelanggan telah diterima. Perkara ini biasa dianggap kecil tetapi hakikatnya ia amat memberi kesan kepada kelancaran pengurusan organisasi dan kualiti hubungan PAS dengan pelanggannya.

Apakah terlalu sukar untuk menyediakan sehelai surat balasan resmi yang hanya menyatakan “surat tuan bertarikh 01 Januari 2008 telah diterima. Pihak kami akan meneliti cadangan tuan dan akan memaklumkan perkembangannya setelah selesai perbincangan yang berkaitan”. ???

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan termasuk jentera pilihanraya mestilah memanfaatkan kemudahan ICT, multimedia dan telekomunikasi untuk mencapai kualiti pengurusan berkesan. Kita patut membangunkan set perisian yang standard untuk digunakan oleh semua peringkat organisasi.

Bagi mencapai kualiti pengurusan organisasi yang cemerlang di semua peringkat, satu syllabus latihan pengurusan dan satu sistem perkaderan petugas organisasi wajar dibangunkan oleh PAS Perak sama ada oleh Majlis Tindakan Setiausaha atau lain-lain lajnah/jabatan yang berkenaan.

Roh organisasi adalah pada musyawarah di kalangan anggota organisasi itu. Semua gerak dan langkah organisasi harus terbit daripada musyawarah yang tulen. Syura bukan sekadar ehwal aliran kerja dan kualiti pelaksanaan tugasan. Syura yang disunnahkan oleh RasuluLlah SAW berdiri di atas prinsip hablun minan-nas yang komprehensif. Idea bukan sekadar produk akal atau ketajaman fikiran sahaja tetapi hendaklah terbit dari akal manusia yang hatinya wara’, zuhud, sabar, terbuka, menghargai, kritis, menghormati, tenang dan memiliki semua ciri hati yang mahmudah.

Pengurusan organisasi berkesan amat bergantung kepada hati penjawat amanah sesebuah organisasi. Jiwa yang mutmainnah akan sentiasa menjunjung konsep dan prinsip syura yang telah diteladankan dengan sempurna oleh RasuluLlah SAW.

Organisasi PAS wajib menghayati konsep dan prinsip syura nabawi ini. Syura adalah platform mencerakinkan idea antara pelbagai pihak dan pelbagai aras dalam organisasi. Keputusan syura adalah hukum namun syura itu sendiri ada hukumnya. Kita perlu berjiwa besar untuk dapat menghidupkan roh syura tulen ketika menunaikan amanah kepimpinan dan tugasan yang kita sanggupi.

Syura berkesan adalah perbincangan atau musyawarah antara manusia-manusia yang sentiasa bimbangkan kesilapan idea dirinya sendiri serta sentiasa cenderong menghargai dan menghormati idea orang lain. Malapetaka akan menimpa kiranya identiti manusia yang bermusyawarah itu adalah keterbalikan daripada personaliti tersebut di atas.


Diskusi 4 – pengurusan pentadbiran kerajaan negeri

Isu ini adalah baru bagi kita di negeri Perak justeru inilah kali pertama kita menjadi sebahagian daripada gabungan parti yang memerintah negeri.

Secara resminya, tanggungjawab ini hanya melibatkan ahli-ahli PAS yang menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan iaitu MB, exco, adun, setpol MB, pegawai-pegawai khas MB dan exco, pentadbir GLC, ahli Majlis PBT, Penyelia Dun, kakitangan tetap pusat khidmat adun dan pejabat Penyelia Dun, ketua kampung, ahli JKKK dan AJK biro-biro JKKK.

Organisasi PAS negeri, kawasan dan cawangan hanya terlibat secara tidak langsung dalam membantu keberkesanan pentadbiran kerajaan mengikut peringkat masing-masing.

Semua penjawat resmi pentadbiran kerajaan dari kalangan ahli PAS mestilah memahami dan menjiwai prinsip dan gagasan pentadbiran yang dijanjikan ketika pilihanraya atau yang diisytiharkan oleh MB dan Pakatan Rakyat selepas pilihanraya.

Isu penting yang harus diberi perhatian oleh penjawat berkenaan dan oleh PAS secara umum ialah kemudahan akses ke pejabat dan penjawat kerajaan. Kedua terpenting ialah keselesaan rakyat ketika berurusan dengan pejabat dan penjawat kerajaan. Isu ketiga ialah kepantasan maklum-balas dan tahap keberesan sesuatu urusan yang dibawa oleh rakyat.

PAS wajib memastikan pentadbiran kerajaan negeri fokus kepada keperluan dan kebajikan rakyat berdasarkan prioriti yang sepatutnya. Kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan, kronisme, nepotisme, prokrastinasi dan bermacam-macam penyakit yang telah lama bernanah dalam jentera pentadbiran kerajaan.

PAS Perak wajar menyediakan mekanisme khas untuk urusan pemantauan dan perolehan maklum-balas berkaitan pentadbiran jabatan/agensi kerajaan daripada organisasi PAS bawahan atau daripada pasukan petugas khas yang dilantik.

Pentadbiran adil, amanah, telus, berwibawa dan berkebajikan perlu menjadi salah satu wirid maknawi pemimpin, petugas dan ahli PAS setiap hari.

WaLlahu a’lam.


9:51:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya

Pengumuman

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN & TAKLIMAT KEPADA KETUA-KETUA KAMPUNG NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

KHAMIS - 7 OGOS 2008
9.00 PAGI


DEWAN BANKUET
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN

9:39:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya