SALAM AIDILFITRI

Written By marhain jelata on 28 September 2008 | 4:22:00 PTG



Assalamualaikum.

PAS kawasan Beruas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat dengan doa mudah-mudahan amalan kita sepanjang Ramadhan al-mubarak diterima oleh Allah SWT. Marilah kita memohon mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan rahmat, keampunan dan kelepasan dari azab neraka.

PAS kawasan Beruas menginsafi betapa masih terlalu banyak kelemahan dan kekurangan dalam menjalankan amanah dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar yang dipikul ini. Kedaifan makin terasa setelah Allah mengamanahkan mandat mengurus-tadbir negeri Perak sejak enam bulan yang lalu.

Kawasan Parlimen Beruas beruntung justeru diwakili oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang kebetulannya adalah Pengerusi DAP Perak yang dimandatkan sebagai exco kanan Kerajaan Negeri manakala kawasan DUN Pantai Remis di wakili oleh Ketua Pemuda DAP Pusat yang juga exco Kerajaan Negeri.

Namun begitu kita masih kurang bertuah kerana kawasan DUN Pengkalan Bharu diwakili oleh ADUN BN/UMNO setelah tewas tipis dengan majoriti 14 undi dalam pilihanraya yang lalu. Keadaan ini sedikit mengganggu kelancaran urustadbir pembangunan bagi N.36 Pengkalan Bharu.

Walau bagaimana pun, kita bersyukur kerana Kerajaan Negeri telah pun menyelesaikan urusan pelantikan penyelia DUN. Kita telah pun menerima surat resmi berhubung pelantikan Timbalan Yang DiPertua PAS Beruas iaitu Tuan Hj. Mohd Nazeer Hamid sebagai Penyelia DUN Pengkalan Bharu. Warga kawasan DUN Pengkalan Bharu mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan agar urusan kebajikan dan pembangunan penduduk dapat dipacu dengan jayanya.

PAS kawasan Beruas menyeru semua pihak agar dapat bekerjasama memberikan input untuk mencorakkan pengurusan pembangunan masyarakat secara adil dan telus sepertimana prinsip yang digagaskan oleh YAB Menteri Besar.

Selamat menyambut ‘Eid alMubarak.

SAMAD BIN NAIMAN
Yang DiPertua
PAS Kawasan Beruas
4:22:00 PTG | 0 ulasan | Baca sepenuhnya